Friday 28 September 2012

PERUTUSAN DARI REV VICTOR


 Shalom jemaat SIBJA yang dikasihi Tuhan! Apa khabar semua? Diharap agar semua sihat walafiat dan sentiasa tekun mengejar hadirat Tuhan!
Saya menulis warkah ini dari Nazareth, Israel. Daerah ini sangat relevan dalam sejarah kepercayaan kita disebabkan beberapa hal yang saya ingin terangkan.
Pertama sekali, berdasarkan Injil Lukas, kita tahu bahawa inilah lokasi di mana malaikat Gabriel memberi pesan Tuhan kepada seorang perawan yang bernama Maria bahawa dia akan mengandung dan akan melahirkan seorang anak lelaki yang bernama YESUS.
Galilea yang terletak di daerah Nazareth juga adalah tempat Yesus membesar. Dia melalui sebahagian besar zaman kanak-kanakNya serta zaman dewasaNya di sini. Kita boleh katakan bahawa Nazareth adalah kampong halaman Yesus. Walaupun Dia dilahirkan di Betlehem dan dimuliakan di Yerusalem, Yesus digelarkan sebanyak 17 kali di dalam Injil sebagai - Yesus dari Nazareth (Jesus of Nazareth) Bahkan, sewaktu Dia disalibkan, terpasang tulisan ini dalam 3 bahasa, Latin, Yunani dan Ibrani – IESUS NAZARENUS REX IUDAEORUM – YESUS DARI NAZARETH, RAJA ORANG YAHUDI.
Nazareth menjadi mahsyur sampai ke hari ini kerana Yesus. Tetapi kampungNya sendiri menolakNya. Pertama kali Dia berkhutbah di Nazareth (Luk.4:16-30), mereka nyaris membunuhNya! Yesus dianiayai orang kampungNya sendiri!
Pelayanan Tuhan Yesus yang disertai dengan kuasa Roh Kudus yang tidak terbatas, dengan tanda mukjizat dan keajaiban yang luar biasa di mana-mana saja Dia pergi, tetapi tidak begitu di Nazaret. Markus 6:5 mengatakan ini, “Ia TIDAK DAPAT mengadakan satu mukjizatpun di sana…”
Perhatikan ayat itu baik-baik. Bukan Yesus TIDAK MAU, tetapi Dia TIDAK DAPAT menyalurkan kuasa Roh Kudus di Nazareth! Kenapa?
Pada mulanya di ayat 2, orang di Nazaret sangat terpegun dengan hikmat dan kebijaksanaan dari Yesus serta kagum dengan mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh tanganNya! Tetapi setelah mereka mulai menilai Yesus secara lahiriah, iaitu, Yesus seorang tukang kayu, anak Mariam, saudara Yakobus, Yoses, Yudas & Simon…mereka terus tidak mahu percaya kepadaNya!
Apa yang boleh kita dapat daripada renungan ini? Kebanyakan kita menjadi orang Kristian sejak lahir, dan sangat terbiasa dengan kisah-kisah dari injil. Sejak sekolah minggu, kita dapat menceritakan perbuatan-perbuatan ajaib Yesus seperti mukjizat 5 roti dan 2 ikan, insiden Yesus berjalan di atas air, bagaimana Dia membuka mata yang buta, telinga yang tuli, dan lain-lain lagi.
Jika keajaiban Tuhan Yesus menjadi sesuatu yang biasa-biasa bagi kita, AWAS! Kalau hati kita tidak lagi berkobar-kobar dan bersemangat mendengar kesaksian Tuhan Yesus, BAHAYA! Kalau kita malu mengaku Yesus di depan orang, TENAT!
Janganlah ‘gereja’ menjadi satu lagi ‘Nazareth’ buat Dia. Marilah kita percaya dan terus percaya bahawa Yesus adalah Tuhan dan Pemilik segala yang ada, dan di atas namaNya, semua lutut akan bertelut dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus adalah Tuhan!

GBU
Rev Victor
Nazareth, Israel
27th Sept 2012

No comments:

Post a Comment